Wednesday, 9 December 2015

LEBIH BAIK MENJANDA DARI TERSIKSA..!!!

dtrim murah


“DALAM menjalani kehidupan berumahtangga tak semestinya kita dapat apa yang dicita-citakan. Walaupun perkahwinan itu sejak awal lagi berlandaskan dasar cinta sama cinta. Tetapi akhirnya merana juga. Sanggup menderita kerana sayangkan suami. Tapi diri sendiri susah.

“Walaupun Ezzah tak bercerai, tetapi kepayahannya mengurus rumahtangga sendirian tanpa bantuan suami si kaki nombor akhirnya membelit diri sendiri, dia terpaksa meminjam kiri kanan untuk bayar sewa rumah dan sebagainya. Matlamatnya, dia takut kena cerai. Itu bukan prinsip hidup saya. Itu pengorbanan sia-sia.” Itu cerita Khuzainah dalam e-melnya.

“Pada saya menurut perintah suami ada had dan batasnya. Selagi suami bertanggung jawab, maka selagi itu dia dihormati dan diikut katanya, tetapi jika dia dah tak kenal anak isteri untuk apa kita bergantung kepada dia lagi?

“Bila baca kisah orang lain, saya bayangkan hidup saya bersama bekas suami saya Wanzi lebih 10 tahun lalu. Kami kahwin cinta sama cinta. Tetapi orang lelaki ni (bukan semua), bila isteri dah beranak pinak, pandangannya kepada isteri mula berubah. Dia mula cari orang lain yang jauh lebih cantik pada pandangannya.

“Saya berkahwin ketika berusia 26 tahun, lepas melahirkan anak pertama Wanzi memang baik, melayan saya dan anak dengan cukup sempurna. Tetapi selepas melahirkan anak kedua, enam tahun kemudian dia mula berubah cita rasa. Mula tertarik dengan wanita lebih muda. Mulanya saya tak tahu hinggalah seorang kawan bercerita, sebab dia kasihan lihat saya berhempas pulas sendirian ambil dan hantar anak ke rumah pengasuh, memasak, berkemas rumah dan menjaga anak hingga mereka tidur. Tetapi suami sibuk menguruskan wanita lain yang menjadi kegilaannya.

“Setiap kali balik lewat, alasannya banyak kerja, trafik jam, hujan dan sebagainya, tetapi sebenarnya dia duduk minum-minum, makan-makan dengan kekasihnya. Ceritanya satu pejabat dah tau. Cuma saya yang tak sedar dan percaya katanya.

“Tetapi satu hari, nak dijadi cerita sedang dia bertandang ke rumah kekasihnya, ibu bapa kekasihnya datang ke rumah sewa anaknya. Apa lagi si ayah mulalah buka “kitab tak berbaris” macam-macam dia soal Wanzi. Apa hubungan mereka, kerja kat mana, orang mana, kahwin ke belum. Kerana tak puas hati dengan jawapan Wanzi, si ayah paksa mereka kahwin. Dia tak mahu bersubahat dalam soal maksiat.

“Walaupun si anak dan Wanzi nafikan, tetapi si ayah tak puas hati. Katanya kalau mereka tak kahwin kes ini akan dibawa ke tengah. Ketar lutut Wanzi, maklumlah orang bercita-cita tinggi nak jadi ketua, jika nama sudah buruk, rosaklah rekod. Akhirnya nak tak nak, Wanzi berjanji akan ikut cakap ayah kekasihnya.

“Saya tak tahu cerita ini jika kawan tak bercerita, kebetulan kawan baik kepada kawan saya duduk serumah dengan kekasih Wanzi. Barulah kes Wanzi kena perangkap ayah kekasihnya terbongkar.

“Kata Wanzi dia diperangkap jiran, kemudian dia minta izin saya nak poligami. Bayangkan ketika itu usia saya belum pun 36 tahun dah nak kena bermadu, siapa mahu. Saya minta Wanzi fikir 10 kali jika dia nak kahwin juga.

“Alasannya dia kena jaga masa depannya. Tak mahu kerjayanya tercalar. Tetapi saya sendiri tak setuju. Pada saya poligami banyak buruk daripada baiknya. Sedangkan tak poligami pun saya sendirian menguruskan anak-anak, apa lagi dah kahwin baru, tentu dia tak ada masa dengan saya dan anak-anak.

“Empat bulan lamanya kami main tarik tali. Akhirnya Wanzi putuskan dia nak nikah juga, sebab takutkan kesnya ke tengah. Janjinya dia tidak akan sia-siakan saya dan anak-anak. Kerana sayangkan suami juga dan takut anak-anak tak ada ayah, saya izinkan dia kahwin dan berpegang kepada janjinya. Tetapi biasalah janji lelaki dapat isteri muda. Mula-mula rajin balik, masuk lima bulan dah buat perangai lama. Balik rumah bila anak-anak dah tidur, dan keluar rumah setelah anak-anak saya hantar ke rumah pengasuh dan ke tadika.

“Lebih teruk lagi janjinya beri nafkah anak-anak, akhirnya terkucil. Sebulan dua bolehlah saya bersabar. Tapi bila dah memanjang sibuk dan tak cukup duit, maka saya fikir untuk apa saya kahwin jika saya tidak dapat keadilan dari segi nafkah makan minum dan zahir batin. Dan saya bukan jenis yang suka bertengkar, bergaduh. Sebab selama ini pun semua urusan rumah saya buat sendiri.


“Agaknya kerana selesa hidupnya sentiasa diuruskan, maka dia tidak pedulikan kami anak beranak lagi. Dia lebih selesa dengan isteri kedua. Akhirnya dengan sikap tak suka bergaduh dan setelah berbincang dengan keluarga saya buat keputusan minta cerai. Memanglah awalnya Wanzi tak mahu, tetapi setelah saya katakan saya tak mahu dia buat banyak dosa berbohong dan tak bertanggungjawab, dengan mudah dia ceraikan saya. Janjinya akan beri nafkah. Macam biasalah, janji lelaki.

GODAAN

“Mula bercerai memang perit, bukan kerana saya jadi janda, tetapi kerana godaan lelaki lain, tetapi saya berjanji pada diri saya sendiri, saya tak akan tergoda dengan lelaki, sebab pengalaman pahit saya dengan Wanzi memang sukar dikikis.

“Kini anak sulung saya berusia 13 tahun adiknya 10 tahun. Mereka sering diambil oleh bekas mertua bercuti ke rumah mereka. Mula-mula dulu saya enggan beri, sebab takut kehilangan anak. Tetapi kata bekas mertua walaupun kami sudah bercerai anak-anak saya tetap cucu mereka.

“Biasalah kehadiran anak-anak saya di rumah bekas mertua tidak disukai oleh isteri Wanzi. Setiap kali anak-anak saya ke rumah neneknya, isteri Wanzi mahu anak-anaknya juga dibawa sama. Tetapi bekas mertua tolak, katanya dia tidak berdaya jaga budak-budak kecil, lainlah anak-anak saya sudah besar boleh jaga diri sendiri.

“Oleh kerana keengganan bekas mertua, saya pula jadi sasaran kemarahan Wanzi. Mula-mula, memang Wanzi tak marah, tetapi sejak setahun lalu, dia mula bersuara. Katanya jangan biarkan anak-anak duduk dengan nenek nanti mereka jadi manja dan malas belajar.

“Lebih menyakitkan hati, Wanzi tanya kenapa saya tak hantar anak-anak ke rumah emak saya bila cuti sekolah? Kenapa susahkan emaknya. Jawapan saya senang, saya tak pernah hantar mereka, tetapi emaknya yang datang ambil. Jika Wanzi tak suka dia boleh nasihatkan emaknya jangan ambil anak-anak saya lagi. Tetapi emak dia sukakan anak-anak saya. Jadi salah saya ke?

“Emak dan bekas mertua saya pernah tanya mengapa saya tak mahu kahwin lagi, kerana saya masih muda. Jawapan saya mudah, kerana saya tak mahu anak-anak saya dapat ayah tiri. Saya tak fikir ada ayah tiri yang sukakan anak-anak tiri. Sedangkan ayahnya sendiri tak kisahkan hidup anak-anaknya. Inikan pulak ayah tiri.

“Walaupun saya pernah terfikir dan terdetik di hati sampai bila saya harus sendirian, tetapi sekali fikir saya tak ada masalah jadi ibu tunggal. Sebaliknya banyak kebaikan dan kelebihannya. Terpulang kepada cara kita jaga diri dan muruah sendiri. Kalau dah jadi janda jangan cemarkan diri nama baik sendiri.

“Tetapi kalau asyik bergayut dengan suami orang, atau asyik menceritakan kesusahan jadi janda kepada lelaki lain, tentulah lama kelamaan ramai suami orang nak kahwin dengan kita, bukan untuk jadikan isteri sebenarnya, tetapi untuk tumpang sekaki senangkan diri dan hidup keluarganya. Nasib tak baik, kita pulak dipaksa tanggung makan minumnya, akhirnya daripada hidup senang jadi janda, akhirnya derita. Bak kata pepatah Melayu “keluar mulut buaya masuk mulut harimau”. Saya tak mahu menyusahkan hidup saya!

“Kini saya bulatkan azam untuk besarkan anak-anak sendiri. Biar saya susah sekarang, asalkan anak-anak senang. Berbudi kepada anak mereka akan kenang jasa ibunya, tetapi berbudi kepada suami, belum tentu kita mendapat kebahagiaan seperti apa yang berlaku pada saya sekarang.

“Tentang nafkah, biarlah bekas suami tanggung, mungkin dia terlepas di dunia, tetapi dia akan jawab di akhirat. Namun saya yakin pembalasan Allah tetap berlaku semasa di dunia lagi. Sama ada cepat atau lambatnya. Malangnya lelaki tidak pernah tahu dan tak ingat pembalasan Allah.

“Kerana itu, kepada Ezza juga kepada wanita yang seangkatan dengannya, saya suka menasihati anda, tolong jangan seksa diri sendiri dan jangan tanggung suami dengan hutang-hutangnya. Biarkan dia jalani hidupnya sendiri, mungkin itu terbaik baginya. Lebih penting anda tidak seksa hidup anak-anak berayah tiri.

“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, Cuma caranya berbeza. Hidup menanggung anak sendirian memang perit, tetapi Allah tidak sesiakan hambanya. Bersabarlah terima ujiannya. Pesan saya bina hidup baru, mungkin hidup anda lebih bahagia tanpa suami, kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.” demikian cerita Khuzainah panjang lebar.

No comments:

Post a Comment